
PASIR GUDANG:
Dua penyedia perkhidmatan e-hailing dari Rusia, iaitu InDrive dan Maxim, telah diarahkan untuk menghentikan operasi mereka di Malaysia bermula 24 Julai ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memaklumkan bahawa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan notis rasmi kepada kedua-dua syarikat tersebut baru-baru ini untuk menghentikan perkhidmatan mereka di negara ini.
“Mulai 24 Julai, operasi aplikasi InDrive dan Maxim di Malaysia mesti dihentikan sepenuhnya.
Bagaimanapun, kedua-dua syarikat masih berpeluang mengemukakan rayuan. Keputusan terhadap rayuan tersebut hanya boleh dibuat oleh saya sebagai Menteri Pengangkutan,” jelas beliau.
Beliau menyatakan perkara tersebut dalam satu sidang media selepas merasmikan pembukaan semula landasan untuk perkhidmatan kargo dari Kempas Baru ke Pasir Gudang, hari ini.
Sebelum ini, pada hari Isnin, Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) telah mendesak pihak kerajaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap dua aplikasi tersebut, termasuk menyekat akses ke platform mereka di negara ini.
Menurut kenyataan daripada Penghantar Malaysia, kedua-dua platform didakwa terus beroperasi tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah undang-undang negara, termasuk kegagalan memastikan pemandu-pemandu mereka memiliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah, seperti mana diwajibkan.
Hasil siasatan APAD mendapati bahawa kedua-dua syarikat tersebut telah melanggar syarat lesen di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah kegagalan memastikan setiap kenderaan di bawah platform mereka memiliki Permit Kenderaan E-hailing (EVP) yang sah, iaitu keperluan utama di bawah Lesen Pengendali Individu (IBL).
Pelanggaran ini merupakan kesalahan di bawah Seksyen 12D(1)(a) Akta 715, yang memberi kuasa kepada APAD untuk membatalkan lesen operasi mana-mana syarikat yang tidak mematuhi syarat lesen mereka.
Leave a Reply