MIRI, 10 Mei – Seramai 40 warga asing ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bahagian Miri dalam satu operasi penguatkuasaan yang dikenali sebagai Operasi Gegar di sebuah pusat hiburan terkemuka di Jalan Kubu, malam tadi.
Operasi yang bermula pada jam 8 malam itu melibatkan seramai 29 pegawai penguat kuasa JIM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Miri.
Menurut kenyataan JIM hari ini, seramai 50 individu diperiksa dalam operasi tersebut, terdiri daripada 40 warga asing dan 10 orang rakyat tempatan.
“Daripada jumlah itu, 40 individu telah ditahan, iaitu tujuh lelaki dan 33 wanita warga asing, kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang imigresen,” menurut kenyataan itu.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tinggal melebihi tempoh sah yang dibenarkan, tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk tujuan bekerja.
Warga asing yang ditahan melibatkan 19 warga China, 13 warga Vietnam, tujuh warga Indonesia dan seorang warga Filipina.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek sedang bekerja di premis hiburan terbabit ketika serbuan dilakukan,” jelas kenyataan itu lagi.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39(b), Seksyen 6(1)(c), dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Leave a Reply